* Street Shooter's Life *

A secret about a secret....experience...natural

Showing posts with label My MasterPiece. Show all posts
Showing posts with label My MasterPiece. Show all posts

Sad, it's so sad,
Bad, it's too bad,
Pain, a lot of pain,
Worse, getting worse,
Cry, no more,
Love, nothing,
Scars, only scars you give us forever.


post signature
Read More …

After a long time did not update my blog, today I wanna share my new masterpiece of poem...Just a simple poem...enjoy!!! (^_^)


Food is tasty
Food is yummy
It's homy
It's lovely.

Yum-yum...
It's melting
It's crunchy
It's nice
It's cozy.

Good and healthy
Part of life
To be strong and happy
No pain no blame
It's sincere to everybody.




Isnin, 8 October 2012
6:15 p.m.
...(^_^)...

Read More …

Menggapai ingin menggapai tangan tak sampai...
Bersuluh ingin bersuluh dalam kegelapan...
Berjalan ingin berjalan penuh halangan...
Mengejar ingin mengejar jatuh tersungkur...
itulah dugaan dalam mengharap REDHANYA KASIH ILAHI.


< D'Estrella Peace >
Read More …

Mencari terus mencari ketenangan tertinggi...
Menghayati terus menghayati kurniaan nikmat yang diberi...
Menyelami terus menyelami khazanah yang tersembunyi...
untuk meraih CINTA KASIHNYA YANG TERAGUNG.

< D'Estrella Peace >
Read More …

KASIH,
kenapa masih ada pertelingkahan
sedangkan Kau telah turunkan hujan
agar bunga-bunga subur di taman.

KASIH,
kenapa masih ada permusuhan
sedangkan Kau telah sinarkan mentari
menerangi setiap sudut alam.

KASIH,
kenapa masih ada kecelaruan
sedangkan telah Kau berikan senyuman
sang purnama di setiap malam.

KASIH,
kenapa masih ada perpecahan
sedangkan telah Kau satukan
Ansar dan Muhajirin.

KASIH,
kenapa masih ada kekeliruan
sedangkan telah Kau kurniakan
ilmu bermanfaat untuk diamalkan.

KASIH,
kenapa masih ada pergolakan
sedangkan telah Kau cambah
erti kemesraan dalam hati setiap insan.

KASIH,
kenapa masih ada peperangan
sedangkan telah Kau cantikkan
dunia dengan pelangi keindahan.

KASIH,
kenapa masih ada kekacauan
sedangkan telah Kau harumkan
insan dengan wangian kasih sayang.

KASIH,
kenapa masih ada pergaduhan
sedangkan telah Kau hiburkan
dengan nyanyian burung-burung berkicauan.

KASIH,
bilakah akan berakhir?
hambaMu yakin dan pasti
akan hilang pertelingkahan
akan hilang permusuhan
akan hilang kecelaruan
akan hilang perpecahan
akan hilang kekeliruan
akan hilang pergolakan
akan hilang kekacauan
akan hilang pergaduhan
apabila tiupan sangkakalaMu menghancurkan bumi.


 p/s:Kenapa ada pertelingkahan?...Kenapa ada permusuhan?...Sedangkan kita lahir dari sebuah kemesraan.
      Renung2kan....


Hasil Nukilan,
Diana Nadia Zee
Ahad, 10 Julai 2011
8 Syaaban 1432H
 4.06 p.m.


~  NowSeeHeart-Damai ~
Read More …

Suramnya alam tanpa senyuman
Mentari hilang di sebalik awan
Bumi menangis bermandikan hujan
Seperti meratapi pemergianmu teman.

Segalanya sudah terpisah jua
Hanya tinggal sebuah kenangan
Doa kudusku jadi iringan
Air mataku jadi peneman.

Insan kerdil kau pergi jua
Semoga tenang dikau di sana
Takkan kembali takkan bersua
Meninggalkan kami di dunia fana.

Kalau itu sudah takdirmu
Kau pergi takkan kembali
Kepada Allah dikau dikembalikan
Di sisi Allah dikau ditempatkan.


Nukilan rasa:
Diana Nadia Zee
Rabu, 29 Jun 2011
27 Rejab 1432
3.09 p.m.


p/s:  Hari ini dia pulang ke rahmatullah...ke sisi penciptaNya yang Maha Esa...al-Fatihah
       Dia ialah arwah Alia Syahirah, anak muridku.
Read More …

Pagi nan hening sunyi sepi
dilihat bangkit sesusuk tubuh
bangkitnya dengan iringan doa
memohon kesyukuran dibangkitkan semula
setelah lena panjang merehatkan jiwa.

Kaki dilangkah penuh hikmah
Penuh niat penuh harapan
Tiada keluhan tiada rungutan
Bangkitnya lagi hanya keranaNya
Memenuhi amanah memenuhi harapan.


Harapannya satu tidak beribu
Mendidik membimbing amanah Ilahi
Si jantung hati penawar diri
Memberi kasih tidak terkecuali
Tiada had tiada terperi.

Tabah dan sabar jadi pegangan
Nasihat teguran jadi bekalan
Nyanyian merdumu jadi igauan
Sentuhan kasihmu jadi rinduan
Walaupun jauh tetap diingatan.

Kasihmu itu tidak ternilai
Tiada di daratan tiada di lautan
Luasnya menjangkau semesta alam
Tidak mampu dijual tidak mampu digadai
Harum kasihmu mekar ke akhir zaman.


     ~ SELAMAT HARI IBU ~

Nukilanku,
Ahad, 8 Mei 2011
1.38 p.m.
...(^_^)...
Read More …

Aku musafir lalu di duniaMu
Aku menumpang teduh di atas bumiMu
Aku singgah sebentar di alam fanaMu
Aku insan hina di atas pentasMu.

Aku sentiasa berlari mencari RahmanMu
Aku sentiasa merintih meraih RahimMu
Aku sentiasa bersujud memohon TawwabMu
Aku mencari terus mencari NurhidayahMu.

Namun semakin kuberlari
semakin kumerintih
semakin kumemohon
semakin kumencari
yang batil laju mendatangiku
aku lemas tidak berupaya.

Allahu Rabbi,
Ya Quddus,
Ya Salam,
Ya  Mukmin,
Ya Muhaimin,
Peliharalah daku dari kemurkaanMu
Bimbinglah daku ke jalanMu
Sucikanlah daku dari segala kekotoran
Sejahterakanlah daku dengan hidayahMu
Amankanlah daku dari bencanaMu
Dakulah sang pencariMu.


Cebisan Rasa
Ahad, 24 April 2011 
20 Jamadilawal 1432H
1.18 p.m.
Read More …

Riang ria kehidupan mewarnai
Setiap detik senyuman terukir
Bagai pelangi indah di kaki langit
Berwarna-warni menghiasi diri
Tiada keluhan tiada tangisan.

Sang mentari terik memancar ceria
Memberi harapan hidup bernafas
Hilang lenyap dilindungi awan
Mendung berarak gelapkan alam
Menangisi bumi bermandikan hujan
Panahan itu membunuhku
Bagaikan halilintar menyambar tanpa salam.

Panahan itu melukakan kalbu
Harapan musnah bagai tidak bernyawa
Diri naif tidak terperi
Kekuatan diri jadi taruhan
Pegangan sabar lenyapkan panahan.

Bagaikan jatuh ke tanah rata
Dari bangunan tinggi mencakar langit
Hancur berkecai serpihan kaca
Dimana berpaut dimana bergantung
Hanya Yang Satu jadi penawar.


Nukilanku
Ahad, 24 April 2011
20 Jamadilawal 1432H
12.22 p.m.
...(^_^)...
Read More …

Cinta...
rahsia hati tersirat...
rasailah dengan mata hati...
rungkai erti cinta sejati...
tanpa cinta tidak mengenal Pencipta
tanpa cinta tidak mengenal Nabi
tanpa cinta hilang hormat pada yang tua
tanpa cinta permusuhan bermaharajalela
tanpa cinta jenayah bergelandangan
raihlah cinta seupayanya
selagi kamu mampu untuk bercinta.


Isnin, 18 April 2011
8.20 p.m.
Read More …

Suasana indah hijau menawan
Memukau saujana mata memandang
Sakuramu mekar memikat jiwa
Menjadi rebutan lensa kamera
Yang jauh pasti datang mendekat
Yang dekat akan terus terpikat
Santunan sifatmu menjadi pengikat
di bahagian timur dan juga barat.

Khamis, 7 April 2011
3 Jamadilakhir 1432H
9.45 p.m.
...(^_^)...
Read More …

Syukur, kita masih disini
masih bernafas masih bernyawa
masih diberi ruang menikmati pancaran mataharinya
masih diberi keizinan menyingkap rahsia di hari ini
semalam sudah menjadi sejarah
esok masih menjadi rahsia.

Hari ini sungguh indah
sang mentari tersenyum ceria
pawana menghembus mesra
siang datang menyapa
malam datang menjengah.

Hari ini jua bumiMu menangis
menyirami tumbuh-tumbuhan
nan menyubur
membawa berita gembira.

Esok, di manakah kita?
Esok, masihkah ada waktu
atau terbujur kaku?
Esok, siang menyapa kita
atau Izrail memanggil kita?
Esok menjadi rahsia.

Hiduplah di hari ini
Hari ini milikmu
Esok belum tentu datangnya.

Rabu, 6 April 2011
2 Jamadilawal 1432H
7.00 p.m.
...(^_^)...
Read More …

Desiran ombak mengalunkan lagu
tanpa perkusi tanpa melodi
Hanya ada irama nan indah
mendamaikan jiwa melapangkan hati...

Sang pawana datang dan juga pergi
membelai lembut mengusik mimpi
kadang dirasai kadang sunyi
kadang membadai kadang menyepi...

Camar kecil bersiul-siulan
mengisi angkasa terbentang luas
di atas batuan taman permainan
menghibur hati pencinta seni...

Kehijauan dedaun meliuk-liuk
hidup subur tersusun indah
penyejuk mata sang kekasih
tiada cacat tiada cela...

Lautan biru khazanah alam
rahsia tersembunyi di kejauhan
siapa mencari pasti menemui
dengan usaha dengan kegigihan.

Ahad, 3 April 2011
29 Rabiulakhir 1432H
9.07 pagi
...(^_^)...
Read More …

Kekasihku...
Laungan namaMu
Menggamit ruang jiwaku...
Tatkala mata memejam menghilangkan segala duka
KAU hadir...
HadirMu amat kupinta...
Tiada kekasih abadi selain diriMu.

Kekasihku...
Air mataku yang ku simpan tertumpah jua...
Maafkan diriku...
Masih adakah ruang untukku disisiMu...
Masih adakah waktu untukku bersujud padaMu...
Memohon ampun dariMu.

Kekasihku...
Bisakah aku meraih kasih sayangMu...
Bisakah aku menggenggam erat firmanMu...
Bisakah aku berpegang teguh pada imanku...
Bisakah aku melihat matahariMu
menyinari alam ciptaanMu lagi.

Kekasihku...
Aku mengharap redhaMu...
Aku rindu bait-bait suci seruanMu...
Kuatkan jiwaku wahai KASIHku...
Kini aku sunyi dalam gembira...
Masihkah ada sinar hidayah buatku...
Wahai KEKASIHku.

5 Oktober 2010
6:53 p.m.
...(^_^)...
Read More …

Dengan hanya sebuah basikal
kau kayuh ilmumu untuk permata dunia
kau tongkat kasihmu demi anak bangsa
kau tunggang tanggungjawabmu bersendirian
kau tuntun segala buku mereka bersama keringat
loceng dipasang supaya tidak alpa
pedal pada kakimu diinjak dengan keikhlasan
pemegang di basikalmu dipacu dengan hemat
agar peganganmu tidak goyah.

Hidupmu ibarat roda
dibawa ke bawah dibawa ke atas
namun kau tetap setia
mengharung cabaran dunia
tanpamu tidak akan ada
sebuah basikal yang sempurna.

Ahad, 24 Mei 2009
10:12 malam
...(^_^)...
Read More …